MAJLIS KHATAM AL-QURAN, SUMBANGAN HARI RAYA AIDILFITRI DAN IFTAR BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
Published On : Monday, 16 March 2026
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. - Bulan Ramadan semakin dekat ke penghujungnya dan majlis-majlis khatam Al-Quran terus giat diadakan dalam meraih ganjaran pahala dan keberkatan bulan suci lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir ini.
Dalam merebut ganjaran pahala dan keberkatan pada bulan yang mulia ini, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) lewat petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, bertempat di Dewan Auditorium BKISHHB.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.
Hadir sama ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas beramai-ramai.
Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Perpindahan Mata-Mata Gadong, Awang Muhammad Hafiz Nur Adib bin Abd. Manaf.
Majlis turut diimarahkan lagi dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebanyak tiga kali sebelum ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Muhammad Hafiz Nur Adib.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut menyempurnakan penyampaian derma kepada dua warga BKISHHB.
Para jemputan kemudiannya dijemput untuk berbuka puasa dan seterusnya beredar ke Surau BKISHHB untuk menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Tahun ini adalah kali empat BKISHHB mengadakan Majlis Iftar bersama Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB di samping Majlis Khatam Al-Quran tahunan pada bulan Ramadan, bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mubarak di samping mendapatkan ganjaran pahala serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.