Amalan bersedekah merupakan amalan mulia dan mempunyai banyak kebaikan. tambahan lagi, sedekah yang dibuat di bulan yang penuh Barakah, bulan Ramadhan. Nikmat bulan Ramadhan seharusnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat beragama Islam dan tidak terkecuali golongan kurang berkemampuan.
Umat Islam dalam pada itu juga diseru untuk hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong kerana dengan cara demikian akan dapat menimbulkan perasaan saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi tanpa mengira keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali. Salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong-menolong atau bantu-membantu ialah dengan amalan bersedekah.
Sehubungan itu, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, telah mengunjungi 10 buah keluarga dari golongan yang kurang berkemampuan untuk menyumbangkan derma dan barangan asasi dibawah program “Sedekah Ramadhan”, sebuah program berkebajikan anjuran BKISHHB. Program ini merupakan program amal yang diadakan buat julung kali khususnya pada bulan Ramadhan 1445H/2024M.
Hadir selaku ketua rombongan dan menyampaikan sumbangan derma dan barangan asasi tersebut ialah Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.
Antara tujuan program ini diadakan ialah untuk menerapkan dan mewujudkan sikap keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan, untuk memberikan sumbangan bantuan keperluan berbentuk makanan asasi kepada golongan kurang berkemampuan dan terakhir sekali untuk mewujudkan platform yang berterusan bagi menggalakan warga BKISHHB untuk melakukan dan membudayakan dalam beramal kebajikan melalui sedekah jariyah.
