BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 September. – Sempena memperingati Hari Kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, pelbagai kegiatan aktiviti keagamaan telah diadakan di Negara Brunei Darussalam.

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) tidak ketinggalan turut sama dalam mengimarahkan membesarkan bulan ini. Sehubungan itu, Majlis Berselawat telah diadakan di BKISHHB bagi menandakan pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selama sebulan sepanjang bulan Rabiulawal 1446 Hijrah bermula hari ini, 1 Rabiulawal 1446H bersamaan dengan 5 September 2024 Masihi hingga Khamis, 29 Rabiulawal 1446H bersamaan dengan 3 Oktober 2024M.

Hadir selaku jemputan khas ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.

Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad. Majlis dimulakan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam secara beramai-ramai yang dipimpin oleh 15 guru ugama dari Jabatan Pengajian Islam (JPI).
Kemudian disusuli dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama JPI, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan.

Koleksi artifak Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan di antara bahan koleksi berharga dan tidak ternilai terdapat di BKISHHB. Orang ramai adalah dialu-alukan mengambil peluang ini untuk ber’tabarruk’ dengan Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di samping memperbanyakkan berselawat.