Dalam usaha mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan berkaitan kebakaran, seramai 25 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengikuti kursus latihan Fire Marshal anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selama tiga (03) hari, dari 15 hingga 17 September 2026.
Kursus latihan berkenaan diadakan di Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan Pusat Latihan Lama, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat.
Program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan serta meningkatkan pengetahuan para peserta mengenai persediaan dan langkah-langkah keselamatan kebakaran, di samping memperjelaskan peranan penting Fire Marshal dalam usaha mencegah kebakaran pada peringkat awal dan mengurangkan risiko berlakunya kebakaran. Usaha tersebut adalah bagi memastikan keselamatan nyawa, harta benda dan persekitaran sentiasa terpelihara.
Sepanjang berlangsungnya Kursus Latihan Fire Marshal tersebut, taklimat dan latihan telah dikendalikan oleh Bahagian Korporat Cawangan Operasi ‘A’, Timbalan Pegawai Balai Rustam Efandi bin Haji Metusin dan AB1412 Khairul Asri bin Aliamat.
Antara pengisian utama program Latihan Fire Marshal termasuklah tugas dan peranan Fire Marshal, pengetahuan asas mengenai punca-punca kebakaran, jenis alat-alat pemadam api serta tatacara dan teknik memadamkan api. Para peserta juga turut diberikan penerangan mengenai tatacara menyelamat mangsa melalui demonstrasi serta penyediaan pelan tindakan jika sekiranya berlaku kebakaran.
Selain itu, para peserta turut menjalani ujian bertulis bagi menilai tahap kefahaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang taklimat dan sesi latihan yang dikendalikan.
Latihan praktikal turut dilaksanakan bagi membolehkan para peserta mengaplikasikan pengetahuan dan teori yang dipelajari melalui simulasi situasi kecemasan sebenar. Latihan tersebut termasuk latihan di Bilik Gelap yang menguji keupayaan peserta untuk bertindak dan bergerak dalam keadaan gelap; Fire Drill Exercise yang melibatkan pengosongan bangunan dan koordinasi pasukan semasa kecemasan; latihan mengenal pasti jenis-jenis alat pemadam api serta praktikal memadamkan api; dan Fire Drill Exercise dengan simulasi mangsa cedera.
Latihan Fire Marshal tersebut dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan kebakaran dalam kalangan pegawai dan kakitangan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di samping memperkukuhkan kerjasama antara agensi dan organisasi dalam menghadapi situasi kecemasan.
Melalui latihan tersebut, para peserta diharap akan lebih bersedia untuk melaksanakan tindakan yang cekap dan berkesan sekiranya berlaku kecemasan berkaitan kebakaran, seterusnya menyumbang kepada pewujudan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat.
