Usaha memperkukuh pengetahuan dan penghayatan terhadap khazanah serta warisan Islam dalam kalangan masyarakat terus dipergiatkan melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan perkongsian ilmu. Usaha ini selaras dengan peranan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) sebagai Pusat Warisan Ilmu Islam yang berperanan mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarluaskan khazanah ilmu Islam.
Sehubungan itu, BKISHHB, Jabatan Perdana Menteri, menyertai Minggu Aspirasi Islam 2026 (Islamic Aspiration Week 2026 – IAW2026) melalui kerjasama dengan Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (EKK PMUBD). Program tersebut berlangsung di ruang perpustakaan, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Minggu Aspirasi Islam 2026 yang bertemakan “Mengikut Jejak Langkah Rasulullah ﷺ” berlangsung selama empat hari, mulai 26 hingga 29 Oktober 2026. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Melalui penyertaan ini, BKISHHB mengetengahkan koleksi bahan dan maklumat berkaitan khazanah Islam, termasuk manuskrip, bagi memberikan peluang kepada para mahasiswa dan mahasiswi serta pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat warisan ilmu dan ketamadunan Islam. Pendedahan ini juga diharap dapat meningkatkan kefahaman serta penghayatan terhadap nilai-nilai Islam yang berpandukan ajaran Rasulullah ﷺ.
Selain memperkenalkan koleksi manuskrip, BKISHHB turut berkongsi maklumat mengenai aktiviti penyelidikan dan proses pendigitalan manuskrip, di samping mengadakan demonstrasi berkaitan penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan bahan serta koleksi artifak. Perkongsian tersebut memberikan pendedahan mengenai usaha yang dilaksanakan dalam memastikan khazanah Islam terus terpelihara dan dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang.
