Seramai 100 penuntut Tahun 9 dan Tahun 10 Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SYSHHB) menyertai “Projek Interaksi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah: Pengetahuan dan Pemahaman Bersama” yang dianjurkan oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), kemarin.

Projek yang berlangsung selama tiga jam pada sesi pagi itu dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan, Bahagian Pendidikan dan Perkhidmatan serta Bahagian Pemasaran Strategik BKISHHB.

Penganjuran projek tersebut merupakan antara usaha BKISHHB dalam memperkenalkan peranan dan fungsi BKISHHB berkenaan kepada para pelajar, khususnya dalam memelihara, menyimpan dan mempamerkan khazanah warisan Islam yang mempunyai nilai sejarah, ilmu pengetahuan dan kebudayaan.

Projek tersebut juga bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pelbagai bidang ilmu yang diketengahkan di BKISHHB, di samping memperkenalkan koleksi artefak warisan Islam sebagai sumber rujukan, pembelajaran dan pengkajian dalam pelbagai bidang ilmu.

Sepanjang projek berlangsung, para pegawai BKISHHB menyampaikan beberapa pengisian yang merangkumi pengenalan mengenai peranan BKISHHB, pengenalan asas mengenai manuskrip dan filologi serta perkongsian pengetahuan mengenai paleontologi. Melalui pengisian berkenaan, para pelajar bukan sahaja didedahkan kepada koleksi dan khazanah warisan Islam, malah diberikan peluang untuk memahami kepentingan pemeliharaan, pengkajian dan penelitian terhadap koleksi yang terdapat di BKISHHB sebagai sumber ilmu dan warisan yang perlu dihargai serta dipelihara.

Para pelajar turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti interaktif, antaranya transliterasi teks dan kuiz, selain menyaksikan pameran replika koleksi BKISHHB yang disediakan sebagai sebahagian daripada pengisian projek.
Penganjuran projek berkenaan juga selaras dengan usaha BKISHHB dalam merealisasikan salah satu tujuan penubuhannya sebagai pusat ilmu yang berperanan dalam menghidupkan pelbagai bidang ilmu Islam melalui pengkajian, penyebaran ilmu dan pelaksanaan program-program berkaitan.

Pada masa yang sama, inisiatif tersebut menjadi wadah untuk mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda, kepada khazanah warisan Islam serta meningkatkan kesedaran mengenai nilai sejarah, ilmu pengetahuan dan kebudayaan yang terkandung dalam koleksi BKISHHB.

Melalui penganjuran program seumpama itu, BKISHHB juga berhasrat untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan institusi pendidikan serta agensi-agensi berkaitan, di samping memperluas jaringan kerjasama dan usaha pemberigaan mengenai peranan serta fungsi BKISHHB kepada masyarakat dan orang ramai.