BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September 2026 – Bengkel Latihan Storytelling bagi Jurupandu Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) anjuran BKISHHB hari ini menutup tirainya setelah berlangsung selama enam hari yang dibahagikan kepada dua kumpulan.
Bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada program latihan secara in-house yang dilaksanakan bagi memperkukuhkan kemahiran komunikasi, penyampaian dan teknik penceritaan dalam kalangan pegawai serta Penyelaras-Penyelaras Galeri BKISHHB.
Kumpulan kedua mengikuti bengkel berkenaan pada 28 hingga 30 September 2026, selepas Kumpulan pertama yang berlangsung pada 23, 24 dan 26 September 2026.
Bengkel tersebut dikendalikan oleh Yang Mulia Jimmy Leong, seorang seorang pakar storytelling dari Malaysia yang memiliki pengiktirafan sebagai Certified UNESCO Cultural Heritage Specialist Guide Trainer.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek seni dan ilmu storytelling, termasuk konsep asas penceritaan, teknik penyampaian cerita serta kaedah mengaplikasikan pendekatan tersebut dalam konteks interpretasi muzium dan galeri.
Latihan turut memberi penekanan kepada elemen-elemen yang dapat menjadikan sesuatu cerita lebih berkesan, kaedah memilih dan menyampaikan cerita secara efektif, penggunaan ekspresi vokal serta pendekatan dalam menyampaikan nilai-nilai warisan dan perkongsian yang bermakna serta mudah diingati oleh pengunjung.
Selain sesi teori, para peserta turut berpeluang mengikuti latihan praktikal dan simulasi lawatan berpandu di Galeri Pameran 1 hingga 9, BKISHHB. Sesi berkenaan membolehkan mereka mengaplikasikan teknik storytelling yang dipelajari dalam situasi lawatan sebenar.
Acara penutup bengkel turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta oleh Yang Mulia Jimmy Leong, selaku tenaga pengajar bengkel.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan teknik penyampaian dalam kalangan jurupandu BKISHHB agar lebih profesional, berkesan dan menarik, di samping memperkasakan pendekatan penceritaan dalam menyampaikan maklumat berkaitan koleksi serta kandungan galeri pameran.
Pendekatan storytelling juga diharap dapat membantu para jurupandu menyampaikan kandungan pameran dengan cara yang lebih interaktif dan mudah difahami oleh pelbagai kategori pengunjung, di samping meningkatkan keyakinan dan keterampilan mereka ketika mengendalikan lawatan berpandu.
Usaha tersebut seterusnya diharap dapat menyumbang kepada pengalaman lawatan yang lebih bermakna serta memberi penekanan terhadap aspek ‘Pengalaman Pengunjung’ dalam penyampaian interpretasi di BKISHHB.
Penganjuran Bengkel Latihan Storytelling ini mencerminkan komitmen BKISHHB dalam memperkukuhkan kompetensi sumber manusia, khususnya dalam aspek penyampaian interpretasi dan pengalaman pengunjung, selaras dengan peranan BKISHHB sebagai sebuah institusi yang memelihara, mempamerkan dan memperkenalkan khazanah warisan ilmu Islam kepada orang ramai.
