BKISHHB

Berita


Lawatan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN)
02/04/2024


​BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 April. - Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi membuat lawatan khas ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), di sini.
WhatsApp Image 2024-04-02 at 3.52.34 PM.jpeg

Ketibaan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dialu-alukan oleh Pengarah BKISHHB, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad, serta pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Terdahulu, Yang Berhormat Ahli-ahli MMN memulakan lawatan dengan sesi taklimat pengenalan yang disampaikan oleh Pengarah BKISHHB.

Seterusnya, rombongan beredar ke galeri pameran yang menempatkan koleksi-koleksi yang unik dan menarik antaranya koleksi mushaf-mushaf dan manuskrip-manuskrip Islam yang terbesar di negara ini, peralatan astronomi, tongkat, tasbih dan banyak lagi.

Dalam lawatan berkenaan, Yang Berhormat Ahli-ahli MMN juga berpeluang berkunjung ke Galeri Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang pada masa ini dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula dari 1 hingga 10 April 2024 sempena 10 hari terakhir Ramadan.

Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke fasiliti-fasiliti yang terdapat di BKISHHB seperti makmal konservasi, ruang penyelidikan, auditorium, bilik persidangan, bilik-bilik mesyuarat dan bilik-bilik kuliah.

Yang Berhormat Ahli-ahli MMN juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat lagi seni arkitek dan reka bentuk dalaman bangunan yang direka bentuk oleh pereka bentuk yang terkenal, iaitu Pei Arkitek.

Objektif utama lawatan khas berkenaan diadakan adalah untuk memperkenalkan BKISHHB dan meluaskan lagi rangkaian hubungan dengan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN.

Lawatan khas berkenaan juga bertujuan untuk memberi penerangan kepada Yang Berhormat Ahli-ahli MMN mengenai fungsi dan peranan BKISHHB, sekali gus mempromosikan BKISHHB sebagai sebuah institusi yang menyimpan khazanah warisan Islam yang unik dan berharga koleksi milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Attachments