Koleksi Mushaf yang terdapat di galeri pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menjadikan tarikan utama bagi rombongan Kumpulan Kembara Husna dan Kuliah Dhuha.
Rombongan seramai 31 orang dari Johor Malaysia tersebut diketuai oleh Ustaz Shahrul Rizal bin Mohd Sati. Kumpulan Kembara Husna dan Kuliah Dhuha berada di Brunei Darussalam selama 3 hari dan menjadikan BKISHHB sebagai salah satu tempat kunjungan mereka.
NurHayati binti Harun yang datang bersama rombongan tersebut berpendapat bahawa Mushaf-Mushaf yang dipamerkan semuanya sangat bagus dan berinformatif dan orang ramai harus merebut peluang untuk melihat koleksi-koleksi mushaf di BKISHHB.
Beliau juga tertarik dengan Mushaf Brunei Darussalam yang dipamerkan iaitu Mushaf berwarna Hitam, Biru dan Hijau yang hanya terdapat di negara ini.
Penulisan Mushaf Brunei Darussalam bermula pada 8 Ramadhan 1408H bersamaan dengan 25 April 1988M dengan kerjasama Kerajaan Republik Arab Mesir dan telah selesai ditulis dan disemak pada tanggal 29 Rabiulakhir 1410H bersamaan dengan 28 November 1989M.
Manakala, bagi Mohd Ashraf bin Mat Hairi yang mempunyai pengalaman mempelajari dan mengkaji Mushaf, beliau berpuas hati kerana mendapat ilmu baru mengenai mushaf-mushaf yang bermacam jenis disamping penerangan yang sangat jelas dan banyak membantu.
Terdapat pelbagai jenis mushaf khususnya dipamerkan di galeri pameran BKISHHB berasal daripada pelbagai negara, antaranya: Negara Arab Saudi, Indonesia, Malaysia, Russia, Sepanyol, Pakistan, India dan lain-lain lagi.
Antara, Mushaf-Mushaf yang menarik yang terdapat di galeri pameran BKISHHB ialah Mushaf salinan milik Ahmed Syamsuddin Karahisari, Quranic Stone, iaitu mushaf salinan secara pahatan yang ditulis diatas kepingan batu, Mushaf 1000 tahun, koleksi Mushaf Miniatur dan banyak lagi.
