Sebanyak 48 pain darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Kempen yang berlangsung di Ruang Legar BKISHHB berkenaan diadakan dalam dua sesi, iaitu dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi dan disambung dari jam 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Penganjuran kempen tersebut merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BKISHHB dalam mendukung usaha kemasyarakatan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah serta memupuk semangat keprihatinan dan tanggungjawab bersama terhadap kesejahteraan masyarakat.

Selain membantu menambah bekalan darah, kempen tersebut turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah secara berkala dalam kalangan individu yang layak. Pada masa yang sama, melalui kempen berkenaan, warga BKISHHB dan orang ramai berpeluang untuk menyumbangkan darah sebagai satu bentuk amal kebajikan yang mudah, namun memberikan impak yang besar kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan dalam menjayakan kempen berkenaan mencerminkan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam menyokong usaha menyediakan bekalan darah yang mencukupi bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

Kempen tersebut turut mendapat sokongan daripada pihak para penaja; D’Sunlit Sdn Bhd, Shah Indra Brunei Darussalam, The Coffee Bean & Tea Leaf dan Tandoor Sdn Bhd yang menyumbangkan saguhati kepada para penderma sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan dan kesudian mereka menyumbangkan darah.

BKISHHB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, para penaja, warga BKISHHB serta orang ramai yang telah tampil memberikan sokongan dan menyumbangkan darah dalam menjayakan kempen tersebut.

Penganjuran Kempen Derma Darah ini diharap akan terus menyemarakkan budaya saling membantu dan prihatin dalam kalangan masyarakat, di samping memperkukuh komitmen BKISHHB dalam melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.